IPOH, 31 Disember- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan 24 warga asing termasuk lima kanak-kanak dalam operasi di enam premis sekitar daerah Kinta, awal pagi tadi.
Operasi oleh Unit Risikan dan Operasi Bahagian Penguatkuasa itu dibuat berdasarkan aduan dan pemantauan dijalankan.
Pengarah Imigresen Negeri Meor Hezbullah Meor Abdul Malik dalam satu kenyataan memaklumkan, penahanan dibuat hasil pemeriksaan 12 anggota JIM terhadap 33 individu.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada 14 lelaki serta masing-masing lima wanita dan kanak-kanak, berusia antara dua hingga 55 tahun.
"Penahanan itu dibuat kerana dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," menurut kenyataan itu.
Tahanan dibawa ke Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut proses undang-undang bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang telah dikeluarkan.
Dalam pada itu Meor Hezbullah berharap orang ramai dapat membuat laporan atau aduan bagi membantu pihaknya membanteras kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) dalam negara.
Selain PTI, JIM juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan atau individu yang menggaji atau melindungi PTI termasuk pendakwaan di mahkamah.