fb fb fb fb fb

JIM Johor hantar pulang 224 tahanan warga asing

FOTO JIM JOHOR

JOHOR BAHRU, 12 Januari- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menghantar pulang 224 tahanan warga asing ke negara asal mereka, sejak Isnin lalu hingga semalam, setelah mereka selesai menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan imigresen.

Menerusi kenyataan JIM Johor, pengantaran pulang dijalakan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan 2, serta Terminal Feri Stulang Laut, Johor Bahru. 

Warga asing terlibat merupakan 128 warga Indonesia, 38 warga Bangladesh, 19 warga Pakistan, 14 warga India, 13 warga Vietnam, enam warga Nepal, lima warga Thailand dan seorang warga Kemboja. 

Kesemua mereka telah diberikan dokumen perjalanan sementara untuk pulang ke negara asal oleh kedutaan negara masing-masing.

Mereka juga disenarai hitam dalam sistem JIM, dan tidak dibenarkan memasuki semula negara ini mengikut tempoh ditetapkan.

Kos tiket penerbangan, ditanggung sepenuhnya oleh wang simpanan mereka dan sumbangan daripada ahli keluarga.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE