fb fb fb fb fb

JIM gempur tiga lokasi panas sekitar ibu negara, 31 warga asing ditahan

Sebahagian Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang tidak mempunyai dokumen dan permit yang sah ditahan ketika operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di sekitar pusat beli-belah Pavilion di Bukit Bintang, Suria KLCC dan Pintasan Saloma., Kuala Lumpur malam tadi

KUALA LUMPUR, 7 Januari - 31 warga asing ditahan Jabatan Imigresen (JIM) di sekitar ibu negara, atas pelbagai kesalahan, malam tadi.

Tiga lokasi panas digempur melibatkan kawasan di sekitar pusat beli-belah Pavilion di Bukit Bintang, Suria KLCC dan Pintasan Saloma.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen, Jafri Embok Taha berkata mereka yang ditahan berumur lingkungan 19 hingga 50 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 15(1) c Akta Imigresen 1963 kerana tinggal lebih masa dan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.

“Dari Indonesia melibatkan dua orang lelaki dan juga dua orang perempuan, Bangladesh melibatkan lapan orang lelaki, daripada India lelaki, enam orang, Pakistan empar orang lelaki, Nepal, empat orang lelaki, Filipina tiga orang lelaki, Afghanistan seorang lelaki dan Syria seorang lelaki," katanya.

Tambah Jafri, seramai 42 anggota penguat kuasa terlibat dalam operasi tersebut yang bermula pada pukul 9.30 malam dan berakhir pada 11 malam, selain dibantu empat petugas Jabatan Pendaftaran Negara.

Beliau berkata, serbuan dilakukan hasil risikan seminggu, susulan aduan orang awam ekoran kebanjiran pendatang tanpa izin di kawasan berkenaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN