fb fb fb fb fb

Jerayawara Kampus MADANI, lihat situasi sebenar di semua peringkat institusi - Zambry

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR, 12 Januari - Jerayawara Kampus MADANI akan dilaksana ke seluruh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta termasuk Politeknik dan Kolej Komuniti.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata siri jelajah itu bertujuan melihat situasi sebenar di semua peringkat institusi, mengambil tahu isu pelaksanaan dasar serta memastikan aspek kebajikan mahasiswa dan kakitangan terbela.

"Untuk mengembalikan semula ingatan kepada semua bahawa universiti itu mempunyai komponen melibatkan pensyarah dan juga mahasiswa, dari segi kesejahteraan mahasiswa yang kita nak lakukan. Jerayawara ini termasuk kakitangan bukan akademik yang ada di dalamnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Landasan Hala Tuju KPT Tahun 2024 di Universiti Malaya, di sini.

Sementara itu, ke arah meningkatkan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberi penekanan kepada lima fokus utama meliputi 20 landasan hala tuju yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Zambry berkata, lima fokus utama itu adalah penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi, serta pemantapan ekosistem pemboleh daya.

“Sejak hari pertama menggalas amanah sebagai menteri, saya menekuni dan mencermati kesemua dokumen penting khasnya melibatkan strategi dan perangkaan perancangan yang dibangunkan di kementerian ini.

“Justeru, saya dapat rumuskan bahawa terdapat lima dimensi utama yang dapat ditemakan sebagai ‘fokus utama KPT’, selari dengan matlamat dan hasrat yang dirangkumkan dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia 2023-2025,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN