fb fb fb fb fb

Jentolak terbalik, pemandu maut dihempap jentera berat

Keadaan jentolak berantai yang terbalik menghempap mangsa, Matius Kapong Richard, 54 tahun (kotak kecil)

KEMAMAN, 4 Oktober- Seorang pemandu jentolak berantai maut selepas kenderaan yang dipandunya terbalik dan menghempap mangsa dalam kejadian petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.10 petang di kawasan pembalakan berhampiran Hutan Seri Bandi di sini.

Ketua Polis Daerah, Penguasa Polis (SP) Hanyan Ramlan mengesahkan mangsa yang maut dikenali sebagai Matius Kapong Richard, 54, berasal dari Tawau, Sabah.

Kejadian dipercayai berlaku ketika jentolak yang dikendalikan mangsa hilang kawalan semasa melakukan kerja menolak di lereng bukit sebelum terbalik ke dalam gaung.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dihempap jentera seberat lapan tan tersebut.

Hanyan berkata seramai enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Al Muktafi Billal Shah Dungun mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan mangsa dengan bantuan dua jentera lain.

Pasukan penyelamat berjaya membawa keluar mangsa sekitar pukul 7.00 malam berikutan lokasi kejadian yang jauh dalam hutan.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat manakala kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah terlibat.

0410 KT MAUT JENTOLAK 2
Mayat Matius Kapong Richard dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat

SITI AISHAH MD ISA