
KUALA LUMPUR, 3 Februari – Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman secara rasmi menyandang jawatan Panglima Angkatan Tentera ke-24 berkuat kuasa 1 Februari 2026.
- Jeneral Datuk Malek Razak dilantik Panglima Angkatan Tentera ke-24 berkuat kuasa 1 Februari 2026.
- Mempunyai hampir 40 tahun pengalaman serta gabungan kepakaran strategik dan pengalaman operasi lapangan.
- Pendidikan tinggi dari Sandhurst, King’s College London dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
- Pelantikan penting bagi pemodenan ATM termasuk penstrukturan semula budaya kerja dan kepimpinan berteraskan integriti.
Majlis pemakaian pangkat disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Auditorium Wisma Pertahanan, hari ini.
Jeneral Datuk Malek Razak mempunyai hampir 40 tahun pengalaman ketenteraan dan dikenali sebagai pemimpin yang menggabungkan kepakaran strategik serta pengalaman operasi di lapangan.
Beliau merupakan alumni Royal Military College, Sandhurst serta pemegang ijazah lanjutan dalam Pengajian Pertahanan dari King’s College London dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kerjayanya bermula sebagai Ketua Platun Rejimen Askar Melayu Diraja sebelum menggalas pelbagai jawatan penting termasuk Panglima Medan Barat Tentera Darat, iaitu jawatan terakhir sebelum pelantikan terbaharu itu.
Pelantikan tersebut dilihat signifikan ketika ATM berada dalam fasa pemodenan strategik merangkumi penstrukturan semula budaya kerja, sistem pengurusan dan kepimpinan berteraskan integriti serta profesionalisme.
Langkah itu diharap dapat memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara selain mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap ATM sebagai institusi pertahanan yang dihormati di peringkat nasional dan antarabangsa.