fb fb fb fb fb

Jenazah Pembantu Penerbitan, Unit Majalah dan Dokumentari RTM selamat dikebumikan

Jenazah Allahyarham Mohd Khairuddin Mat Zaib dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ketumbu, Badak Mati

KOTA BHARU, 3 Disember - Jenazah Allahyarham Pembantu Penerbitan, Unit Majalah dan Dokumentari Radio Televisyen Malaysia (RTM) Mohd Khairuddin Mat Zaib, 42 tahun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ketumbu, Badak Mati, di sini selepas solat Isyak.
 
Terdahulu jenazah yang tiba dari KlangSelangor pada pukul 6.30 petang disembahyangkan ahli keluarga allahyarham, sahabat dan penduduk sekitar.
 
Upacara pengebumian itu dihadiri lebih 100 ahli keluarga, kenalan rapat dan rakan allahyarham yang memberikan penghormatan terakhir.
 
Sementara itu ibu allahyarham, Ramah Mat Yaman yang juga bekas Penerbit RTM memberitahu, allahyarham sempat menjaganya ketika dia ditahan di wad Hospital Raja Perempuan Zainab 2, Kota Bharu, minggu lalu.
 
"Dia (allahyarham) kata dia nak balik minggu depan kebetulan lepas itu banjir, jadi mak cik tak bagi dia balik, sebab banyak jalan tutup," kata ibu allahyarham, Ramah Mat Yaman.

"Jadi saya mohon kawan-kawan kalau ada salah silap mintak ampunlah segala salah dia, halalkan segala makan minum dia dan semoga roh dia diangkat darjat para solihinlah," kata adik allahyarham Fikri Mat Zaib.

Allahyarham Mohd Khairuddin telah berkhidmat selama 18 tahun bersama-sama RTM dan meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

Pemergian allahyarham merupakan kehilangan besar kepada keluarga, rakan sekerja dan seluruh warga RTM.

TETITIA YUSOFF