Jenazah Noor Hazimi selamat dikebumikan

Jenazah Noor Hazimi Noor Hashim, 15, selamat dikebumikan kira-kira pukul 6.00 petang di Tanah Perkuburan Islam Pengadang Baru/foto RTM

KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kepong, di sini, pagi tadi, selamat dikebumikan kira-kira pukul 6.00 petang di Tanah Perkuburan Islam Pengadang Baru.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jenazah Noor Hazimi, 15, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pengadang Baru kira-kira pukul 6.00 petang.
  • Bapa reda dengan ketentuan dan bersyukur jenazah sempurna serta arwah memakai topi keledar semasa kejadian.
  • Kemalangan berlaku apabila motosikal mangsa dirempuh kenderaan dari arah bertentangan di Jalan Kepong.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; pemandu kereta tidak cedera.

Mangsa, Noor Hazimi Noor Hashim, 15, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian badan selepas terlibat dalam kemalangan pada hari pertama sesi persekolahan.

Bapa mangsa, Noor Hashim Puteh, 55, berkata ketika kejadian anak lelakinya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Belukar Sukai selepas mengisi petrol di sebuah stesen minyak yang terletak kira-kira lima kilometer dari kediaman mereka.

“Arwah bercadang untuk mengambil adik perempuannya yang berusia 14 tahun di rumah sebelum ke sekolah bersama-sama menaiki motosikal.

“Dia keluar rumah kira-kira pukul 6.35 pagi dan keluarga menerima panggilan memaklumkan kejadian kira-kira setengah jam kemudian,” katanya.

Noor Hashim yang reda dengan ketentuan takdir, bersyukur kerana jenazah anaknya sempurna dan mangsa turut memakai topi keledar ketika kejadian.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Pengadang Baru dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah Kampung Serada menghala ke Titian Baru, Tepoh, Kuala Nerus.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa dirempuh oleh kenderaan dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.