fb fb fb fb fb

Jenazah Muhamad Syafiq selamat dikebumi

Selain ahli keluarga, jiran-jiran dan rakan-rakan turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

KUANTAN, 18 Februari- Jenazah Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 8, Kuantan, petang tadi.

Jenazah Allahyarham sebelum itu tiba di rumah keluarganya di Taman Seri Mahkota Jaya pada pukul 4.40 petang dan disembahyangkan buat kali kedua.

Selain ahli keluarga, jiran-jiran dan rakan-rakan turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Turut hadir memberi penghormatan kepada Allahyarham, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman.

Selesai upacara mengikut istiadat pengebumian Polis DiRaja Malaysia (PDRM) itu, Yahaya menyerahkan Jalur Gemilang kepada bapa Allahyarham, Ahmad Said Md Piah dan ibu Allahyarham, Aini Mohd Shariff sebagai tanda penghormatan terakhir.

Terdahulu, Allahyarham, 24 tahun terkorban dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada pukul 2.45 pagi semalam.

Turut terkorban, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun serta suspek berusia 21 tahun.

Sementara, Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera ditembak dan ditetak, kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata suspek yang ditembak mati di tempat kejadian sememangnya telah merancang dan melakukan serangan itu untuk mendapatkan senjata api yang disimpan di balai polis berkenaan.

Dalam pada itu, Yahaya telah mengarahkan semua balai polis di Pahang meningkatkan kawalan keselamatan susulan kejadian serangan itu.

Menurut Yahaya, arahan berkenaan juga selaras dengan arahan Razarudin.

"Di Pahang, saya telah mengarahkan semua ketua polis daerah untuk memastikan balai-balai dalam keadaan siap siaga.

"Ini terutama daripada segi keselamatan yang akan dititikberatkan dan dipertingkatkan," katanya kepada pemberita di sini.

Artikel Berkaitan:
Insiden Balai Polis Ulu Tiram: Raja Permaisuri Agong lawat anggota polis cedera
Insiden Balai Polis Ulu Tiram: Jangan kongsi maklumat tidak pasti - Fahmi
Dua anggota polis maut, seorang cedera insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM