fb fb fb fb fb

Jenazah Hud Aryan selamat dikebumikan

Foto RTM

TANAH MERAH, 27 Februari-Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Aira Kuala Tiga, Tanah Merah apabila hampir seratus orang termasuk ahli keluarga dan penduduk kampung mengiringi pengkebumian Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, kanak-kanak lelaki berusia 19 bulan yang hilang Isnin lalu.

Terdahulu, jenazah Hud Aryan diiringi ahli keluarga dan penduduk kampung disolatkan di Masjid Mukim Kuala Tiga pada pukul 1.00 pagi sebelum selamat dikebumikan pada 2.00 pagi tadi.

Bapa Hud Aryan iaitu Mohd Nor Hafifi Saidee berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat anaknya selama tiga hari.

Dia dan isteri, Azean Nur Atikah Ramley,  reda dengan pemergian arwah serta mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan arwah anaknya.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutamanya pihak polis pihak Bomba dan NGO.

"Terima kasih kepada penduduk kampung terlibat. Memang terbalas jasa semuanya. Walaupun hanya menemukan jasad arwah, saya dan isteri redha dengan pemergiannya", katanya ketika ditemui RTM di sini.

Terdahulu, jenazah kanak-kanak itu dituntut ahli keluarganya di Unit Forensik Hospital Tanah Merah setelah proses bedah siasat selesai dijalankan sebelum dimandikan dan dikafankan.

Pada Isnin lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia 19 bulan dilaporkan hilang di Kampung Aira Kuala Tiga, dan operasi pencarian turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit K9 serta penduduk kampung.

Operasi SAR berakhir semalam apabila mayatnya ditemukan tersangkut pada pokok di muara Sungai Kerila, Tanah Merah kira-kira tiga kilometer dari rumah keluarga mangsa.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD