fb fb fb fb fb

Jemput profesor didakwa pro-Israel, Fahmi tunggu penjelasan UM

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika bercakap kepada pemberita semasa sidang media Kerajaan Perpaduan di Putrajaya/ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 April - Kementerian Komunikasi kesal dengan tindakan Universiti Malaya (UM) yang menjemput ahli akademik daripada Amerika Syarikat yang menyebarkan propaganda Zionis dalam satu program.

Menterinya Fahmi Fadzil menegaskan pihaknya menunggu laporan penuh dari pengurusan UM yang akan dikemukakan kepada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir , sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata  umum mengetahui kelantangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersuara berkaitan isu palestin dan insiden ini tidak patut berlaku di sebuah universiti terbaik di Malaysia.

"Kita tunggu untuk penjelasan dari pihak Universiti Malaya (UM).

"Namun saya ambil maklum pandangan dan rasa kesal yang telah dizahirkan kesatuan Mahasiswa UM dan saya seiring dengan pandangan itu, sejujurnya mana-mana kebiasaannya jemputan dari luar negara kebiasaannya akan ada rujukan dengan kementerian luar dan saya ingin tahu.

"Kita akan tunggu dulu laporan penuh daripada pihak UM sebelum kita putuskan tindakan selanjutnya", kata Fahmi demikian kepada media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi di sini.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai terkesan dengan insiden terbabit kerana pusat pengajian yang terletak dalam kawasan Parlimen beliau.

Malah UM merupakan tempat pengajian yang melahirkan ramai tokoh dan pemimpin negara termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas beberapa Perdana Menteri, Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara.

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD