fb fb fb fb fb

Jemaah umrah terkandas tuntut wang kembali

KELANTAN, 4 Mac- Seramai 58 daripada 390 bakal jemaah umrah menuntut sebuah agensi umrah dan pelancongan membayar balik wang mereka selepas penerbangan mereka untuk
menunaikan ibadah umrah di Arab Saudi dibatalkan.

Seorang mangsa, Nasir Saad berkata, beliau bersama tiga ahli keluarganya yang lain sepatutnya terbang ke tanah suci Mekah pada 26 Februari lalu, namun agensi umrah dan pelancongan membatalkan dengan alasan hotel penuh.

Katanya, beliau dan ahli keluarganya yang lain sudah membuat tempahan dengan agensi tersebut pada Oktober tahun lalu dan segala urusan surat menyurat serta bayaran sudah diselesaikan seperti yang diminta pihak syarikat.

 

Namun katanya, pada 23 Februari lalu menerima notis yang memaklumkan penerbangannya ke Arab Saudi terpaksa ditunda ke tarikh lain. 

"Saya dengan isteri dan anak-anak hendak pergi umrah patut pada 26 hari bulan Feb, tetapi dapat notis daripada syarikat ini pada 23 hari bulan Feb, jadi kita dah prepare semua sekali dah, beg dah siap semua sekali hendak pergi tiba-tiba tidak dapat tiket, tiket domestik pun kita sudah bayar dan beli dah sekarang ini maknanya rugi dah tiket pergi dan balik," kata Nasir Saad.

"Jadi kami semua dah bersepakat dan bersatu hati akan memperjuangkan hak kami, kerana keluarga kami 7 orang hampir RM70,000 hilang dalam sekelip mata kerana dijanjikan dengan banyak keistimewaan tapi hanya satu alasan kerana hotel penuh maka kami diberitahu sehari sebelum bertolak batalkan penerbangan," kata Ibrahim Abdul Rahman.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ayahanda Anakanda Malaysia, Datuk Seri Suzainal Adnan Sukri meminta kerajaan melakukan siasatan terhadap syarikat-syarikat agensi pelancongan di negara ini kerana kerap kali kes penipuan itu berlaku.

"Ini yang saya mohon sangat pihak kerajaan cuba buat penapisan mana-mana syarikat yang ada rekod tidak bagus, hentikan perkhidmatan mereka dan berikan kepada orang lain yang berkaliber insya-Allah itu saja harapan saya," kata Presiden PAAK, Datuk Seri Suzainal Adnan Sukri.

Bagaimanapun percubaan kami untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak terbabit tidak mendapat kerjasama malah turut dihalau keluar oleh wakil agensi terbabit.

Media Baharu