
MEKAH, 3 Mac – Jemaah umrah Malaysia yang terkandas di tanah suci dijangka menaiki penerbangan dari Madinah terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selewat-lewatnya pada 5 Mac ini.
- Jemaah umrah Malaysia terkandas di Mekah dijangka berlepas dari Madinah terus ke KLIA selewat-lewatnya pada 5 Mac.
- Keadaan di tanah suci dilaporkan tenang dan selamat; jemaah tidak mengalami tekanan atau masalah.
- Syarikat pengendali sedang runding laluan alternatif; kos penginapan, makanan dan tiket ditanggung sepenuhnya.
Perkara itu susulan konflik yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat-Israel dan Iran di Asia Barat yang turut menjejaskan operasi penerbangan antarabangsa.
Seorang jemaah yang terkandas di Mekah Mohd Hafiz Mohd Salleh berkata, walaupun konflik sedang berlaku, keadaan di tanah suci kekal tenang.
“Alhamdulillah, walaupun dalam keadaan konflik antara Iran dan juga Amerika Syarikat-Israel, kami di sini dalam keadaan tenang. Tiada sebarang tekanan atau masalah berlaku.
“Insya-Allah bagi penerbangan pulang, kami berharap dengan izin Allah dapat kembali ke Malaysia sama ada pada Khamis atau Jumaat nanti,” katanya.
Seorang lagi jemaah, Noorul Hafiz Jamaluddin, memaklumkan mereka dijadualkan bergerak ke Madinah selepas mendaftar keluar dari hotel di Mekah.
“Kami akan daftar keluar hotel di Mekah dan insya-Allah akan bergerak ke Madinah. Keadaan di sini tenang, selamat dan tidak terjejas dengan konflik yang sedang berlaku,” katanya.
Pengarah Urusan syarikat berkenaan, Mohd Hidayat Mohammad, ketika dihubungi RTM berkata pihaknya sedang berusaha memastikan semua jemaah dapat pulang ke tanah air secepat mungkin.
“Perbincangan dan rundingan sedang dilakukan bersama sebuah syarikat penerbangan bagi mendapatkan laluan alternatif yang selamat serta tidak terjejas dengan situasi semasa,” katanya.
Mengikut jadual asal, tiga kumpulan jemaah berkenaan sepatutnya kembali ke tanah air pada 28 Februari dengan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai namun lapangan terbang itu dilaporkan mengalami kerosakan dipercayai akibat dentuman peluru berpandu.
Sepanjang berada di Mekah dan Madinah, kebajikan, keselamatan serta keselesaan jemaah terus menjadi keutamaan, dengan semua kos penginapan, makanan dan tiket penerbangan pulang ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat pengendali umrah.
Semalam, dilaporkan seramai 140 jemaah umrah dari Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Lembah Klang yang menggunakan perkhidmatan Dhia Travel Sdn Bhd terkandas di Mekah susulan serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran.