PUTRAJAYA, 7 Mei - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyambut baik seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan, Jemaah Menteri dan ketua-ketua jabatan mewakili sebuah kampung.
Bagaimanapun Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia memerlukan perincian agar pelaksanaan lebih berkesan.
Katanya, kriteria berkenaan perkara itu dijangka dinyatakan oleh Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet esok sebelum sebarang maklum balas mengenai pendekatan itu dapat dibuat.
"Sebenarnya esok mesyuarat Kabinet akan dinyatakan, kita dapat melihat kreteria supaya dapat kita memberi maklum balas sama ada itu cara yang terbaik kalau melibatkan menteri," katanya kepada pemberita selepas majlis Jalinan Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama kumpulan sasar, di sini.
Nancy berkata inisiatif seumpama itu telah bermula melibatkan ketua setiausaha (KSU) kementerian menerusi program Satu KSU Satu Kampung dan cadangan berkenaan kini diperluas kepada Jemaah Menteri dan ketua-ketua jabatan, namun perlu perbincangan lanjut memandangkan ia merupakan usaha baik.
Semalam, Perdana Menteri dalam perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) meminta menteri-menteri dan ketua-ketua jabatan segera mengemukakan nama kampung yang diwakili agar masalah keciciran dan pengganguran dapat ditangani secara berkesan.