fb fb fb fb fb

Jemaah Menteri kecam pembunuhan Haniyeh

Foto Fail: Ismail Haniyeh/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Julai- Mesyuarat Jemaah Menteri mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran hari ini, menurut Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata Jemaah Menteri turut menggesa siasatan segera dilakukan agar pihak yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan tersebut dibawa ke muka pengadilan.

"Jemaah Menteri turut menzahirkan solidariti bersama dengan rakyat Palestin dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mantan Perdana Menteri Palestin itu.

"Kerajaan Malaysia akan terus lantang menyuarakan sokongan serta bekerjasama dengan negara-negara lain dalam usaha mendesak pembebasan rakyat Palestin daripada sebarang bentuk kezaliman," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail Haniyeh dilaporkan terbunuh dalam ‘serbuan’ Israel di kediamannya di Tehran, hari ini.

Beliau dilaporkan meninggal dunia selepas menyertai acara pelantikan presiden baharu (Iran), Masoud Pezeshkian yang mengangkat sumpah pada Selasa (semalam).

ZEHRA BINTI ZAMBRI