MADINAH, 2 Mei- Satu sesi taklimat akan diadakan untuk jemaah haji Malaysia yang berada di sini sebelum sebelum bertolak ke Mekah.
Pengurus Zon 2 Madinah Shahidan Ishak berkata perkara itu bagi memastikan jemaah mendapat panduan lengkap dan informasi tepat untuk mengerjakan umrah dan haji.
"Kita akan maklumkan kepada jemaah contohnya di mana tempat untuk berniat umrah. Mengambil contoh bermiqat di Bir Ali, jadi apabila sampai ke lokasi itu kita boleh melaksnakan perkara itu. Apabila tiba di Bir Ali baru boleh niat melaksanakan umrah dan kemudian akan ke Mekah.
"Jadi tanpa taklimat mungkin jemaah haji pun akan tertanya-tanya berkenaan persediaan dan kelengkapan-kelengkapan mereka ada sebelum bertolak ke Mekah nanti," katanya.
Shahidan berkata demikian ketika ditemui pemberita di sini.
Sementara itu Tabung Haji (TH) juga menyediakan kaunter bimbingan dan ziarah di Pejabat Operasi Madinah bagi memudahkan jemaah mendapatkan maklumat berkaitan ibadah umrah dan haji.
Seramai 122 daripada 632 petugas TH bagi musim haji tahun ini ditempatkan di Madinah bagi memastikan perjalanan ibadah haji Duyufurrahman berjalan lancar dan sempurna.