ALOR SETAR, 18 Mei- Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah menggesa jemaah haji berdoa agar Alllah SWT terus memelihara kesejahteraan negara dan dijauhkan dari segala bencana serta malapetaka yang tidak diingini.
"Beta menyeru kepada semua jemaah haji untuk memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran atas nikmat keamanan negara, yang membolehkan anda dapat pergi mengerjakan rukun Islam ke lima dengan aman, selamat dan selesa. Jangan dilupa untuk berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala sepanjang anda berada di tanah suci.
"Doakan agar Allah SWT terus memelihara kesejahteraan Malaysia dan dijauhkan dari segala bencana dan malapetaka yang tidak diingini,"titah baginda pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada kumpulan bakal jemaah haji dari Kedah di Pusat Konvensyen Raia Hotel, Kepala Batas, Alor Setar, Kedah.
Seramai 142 bakal jemaah haji dari Kedah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijadual bertolak ke tanah suci melalui penerbangan sewa khas.
Dalam titah ucapan sama, baginda menasihati kesemua para tetamu Allah yang terpilih pada tahun ini untuk mengekalkan tahap disiplin yang tinggi di samping mematuhi segala arahan dan saranan daripada pihak Tabung Haji (TH).
Baginda bertitah, umat Islam di negeri Kedah harus bersyukur, kerana TH sentiasa mengambil berat akan kebajikan para jemaah haji, dengan menganjurkan pelbagai kursus, serta menyediakan perkhidmatan dan kemudahan dengan infrastruktur yang baik, bermula di tanah air sehinggalah ke tanah suci.
Titah baginda, jemaah haji tidak perlu bimbang, ikhlaskan niat dan berlapang dada dalam melaksanakan ibadat haji dengan sempurna, selain mematuhi semua nasihat dan arahan yang diberikan oleh pihak TH.