JOHOR BAHARU, 29 Mac-Jelajah Ramadan Radio Televisyen Malaysia (RTM) 2024 Edisi ke-12 kini tiba di Johor,lokasi terakhir pada tahun ini.
Program berkenaan diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk menyantuni dan berbuka puasa bersama 30 anak yatim dari Pusat Jagaan Kasih Setanggi Johor Bahru di RTM Johor.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata sepanjang sesi Jelajah Ramadan ini diadakan ia berjalan dengan lancar dan akan bersambung di Petron Bandar Seri Alam, Masai pada hari esok (Sabtu) sebagai penutup.
"Semua lancar tapi apa yang paling penting ialah kita dapat menyantuni pelbagai pihak pelbagai latar belakang dan yang penting juga ialah kita sempat memahami apa yang mungkin dimahukan oleh penonton kita, pendengar kita jadi informasi yang ada ini dengan data-data yang rakan-rakan kita dapat kita dapat mengolah program yang sesuai yang dapat dibawakan tidak kira di stesen radio atau melalui platform digital kita", katanya yang ditemui semasa Majlis Iftar Titipan Kasih Jelajah Ramadan 2024 di sini.
Tambah beliau, RTM perlu sentiasa mendekati masyarakat untuk kekal relevan dalam menyampaikan maklumat informatif melalui medium sedia ada seiring dengan menjalankan kewajipan tanggungjawab sosial bersama pihak yang ingin membantu.
Beliau berharap Program Jelajah Ramadan ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan pelbagai penambah baikan seiring dengan kemahuan masyarakat.