BARAM, 8 Oktober - Program Jelajah Malaysia MADANI, satu program yang dilihat penting untuk meningkatkan pemahaman rakyat mengenai aspirasi Kerajaan Perpaduan, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas - Tugas Khas Datuk Wilson Ugak Kumbong.
Beliau melihat program itu sebagai landasan mengukuhkan penyatuan di antara komuniti dengan agensi-agensi kerajaan.
Katanya program itu yang menyediakan ruang kepada komuniti mengutara isu-isu rakyat, membolehkan kerajaan mendapat input pembangunan sehingga ke peringkat akar umbi.
Antara objektif program adalah meningkatkan kefahaman komuniti kepada aspirasi Malaysia MADANI serta menyantuni komuniti dengan memberi informasi dan perkhidmatan yang terkini di peringkat akar umbi. Ia juga bertujuan meningkatkan semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan komuniti.
Program serupa akan dilaksanakan di lokasi lain seluruh Sarawak termasuk di Lubok Antu, Sri Aman, Kapit dan Bintulu.