fb fb fb fb fb

Jejambat persimpangan Bukit Setongkol-Kemunting dibuka hari ini

Foto: FB Kementerian Kerja Raya Malaysia

KUANTAN, 1 April- Jejambat dari persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting di Jalan Persekutuan (FT421), di sini dibuka kepada pengguna jalan raya bermula pada pukul 8.00 pagi tadi bagi memberi kemudahan dan keselesaan terutama kepada rakyat negeri ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan bersama berkata kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bersetuju pembukaan jejambat berkenaan perlu disegerakan sebagai laluan alternatif.

Menurut kenyataan tersebut, pembukaan jejambat itu sekali gus mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas akibat pertambahan jumlah kenderaan terutamanya pada waktu puncak dan cuti umum.

"Projek pembinaan jejambat ini merupakan kesinambungan kepada projek pembinaan sebuah jambatan baharu merentasi Sungai Kuantan menghubungkan bandar Kuantan ke bandar Putra, Tanjung Lumpur yang kini dikenali sebagai Jambatan Putra, yang telah dibuka secara rasmi pada 21 Februari 2021," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan projek berkenaan dibiayai oleh kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pembinaan Jambatan Putra telah disiapkan secara Siap Berbahagian pada 25 September 2020 sepanjang 1.85 kilometer merangkumi jambatan baharu sepanjang 451 meter merentasi Sungai Kuantan dengan kos projek bernilai RM161.438 juta dan dirasmikan pembukaannya pada 21 Februari 2021.

Projek jejambat dari persimpangan Bukit Setongkol Ke Kemunting pula, merupakan skop kerja tambahan bagi projek pembinaan sebuah jambatan baharu merentasi Sungai Kuantan menghubungkan bandar Kuantan ke bandar Putra, Tanjung Lumpur.

Kenyataan itu menyebut, ia telah diluluskan secara Perjanjian Tambahan melibatkan kos projek bernilai RM47 juta, dengan tarikh milik tapak adalah pada 15 Jun 2020 dan disiapkan pada 22 Mac 2024.

"Skop kerja tambahan ini merangkumi pembinaan jalan berkembar empat lorong dari persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting mengikut piawaian JKR U5 Jenis III sepanjang 650 meter merangkumi jejambat baharu sepanjang 280 meter merentasi Jalan Persekutuan, Jalan Kuantan - Gambang (FT02)," kata kenyataan itu.

ZEHRA BINTI ZAMBRI