KUALA LANGAT, 7 Julai- Jejambat Bandar Saujana Putra (BSP) di Kuala Langat dibuka secara rasmi kepada pengguna bermula pukul 12.01 tengah malam tadi.
Jejambat sepanjang 820 meter itu melibatkan kos RM70 juta.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pembukaan jejambat yang menghubungkan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Klang Selatan (SKVE) itu dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Bandar Saujana Putra terutama pada waktu puncak.
"Hari ini saya rasa masalah kesesakan yang menghantui lebih 4,000 kawasan kediaman yang ada di kawasan sekitar ini dapat diselesaikan."
"Ini adalah komitmen daripada semua pemaju yang sepatutnya dibinakan dan Kerajaan Negeri bersedia untuk membantu menyelesaikan pembinaan di sini," kata Amirudin kepada pemberita selepas menyempurnakan simbolik pelancaran dengan 'flag off' dan mengedarkan beg cenderahati PNSB kepada pengguna yang melalui jejambat berkenaan, pagi tadi.
Tambah Amirudin, Kerajaan Negeri melalui Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) turut membantu menyelesaikan penangguhan pembinaan jejambat itu bersama pemaju sejak sekian lama.