BATU PAHAT, 7 Disember- Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, berkenan menzahirkan rasa berbesar hati dengan kewujudan Johor Business School (JBS) sebagai pusat pengajian baharu di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor.
Baginda yang juga Canselor UTHM bertitah, pusat pengajian itu bertujuan membangunkan modal insan berkualiti secara holistik, serta menjalinkan hubungan lestari antara komuniti setempat.
"Saya yakin Johor Business School (JBS) akan menjadi pemangkin dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dalam bidang pengurusan perniagaan malah memiliki daya saing global untuk menerajui pembangunan ekonomi negeri," katanya.
Hala tuju JBS dan UTHM, dilihat akan menjadi mercu tanda kecemerlangan pembangunan pendidikan tinggi Johor, selari dengan aspirasi Maju Johor, Rakyat Sejahtera.
Pemangku Sultan Johor bertitah demikian ketika berkenan berucap merasmikan Konvokesyen UTHM ke-24 di Dewan Sultan Ibrahim, Batu Pahat, bermula hari ini sehingga 12 Disember.
Secara keseluruhan, seramai 4,870 graduan pelbagai peringkat pengajian bakal dianugerahkan Ijazah masing-masing dalam sesi konvokesyen kali ini.