fb fb fb fb fb

JBPM tubuh jawatankuasa, siasat secara terperinci kes anggota lemas

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohamad

KUALA NERUS, 26 Februari - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat punca insiden lemas yang meragut nyawa anggotanya, Mohd Izwan Illias, di Butterworth, Pulau Pinang, Jumaat lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohamad berkata jawatankuasa itu diberikan tempoh dua minggu untuk berbuat demikian.

"Kita lihat semua aspek, pertama pemakaian jaket keselamatan, keduanya keupayaan untuk menyelamat diri peringkat awal dan ketiganya bagaimana prosedur kita melakukan kerja semasa melakukan operasi.

"Dalam operasi kita menyatakan setiap pergerakan bot itu kita berdua pakai jaket keselamatan, namun dalam insiden yang berlaku pada arwah Mohd Izwan ini berlaku ketika arwah hendak pergi meletakkan bot," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023, di sini.

Pada kejadian 22 Februari lalu, mangsa Mohd Izwan Ilias ditemukan lemas selepas melakukan kerja-kerja menyelenggara bot di Jeti Marin JBPM Mak Mandin, Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, Nor Hisham berkata orang ramai diminta lebih berwaspada dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa ketika melakukan aktiviti air di kawasan berisiko.

Ini berikutan kejadian Lemas di seluruh negara semakin meningkat dengan 325 kes direkodkan tahun lalu berbanding 290 kes pada 2022.

Justeru, katanya pendidikan awal kepada masyarakat perlu dilakukan termasuk mendedahkan generasi muda terhadap aspek keselamatan di air.

"Dari aspek kepada pelajar-pelajar sekolah, kepentingan kepada memiliki keupayaan berenang asas dan keupayaan mereka untuk menjangka kawasan-kawasan bahaya supaya tidak orang cakap menduga kawasan di luar keupayan renangan mereka," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN