fb fb fb fb fb

JBPM terima peruntukan lebih RM50 juta, perkasa fasiliti dan prasarana

Foto FB KPKT

KEPALA BATAS, 18 November- Sebanyak RM57.695 juta diperuntukkan Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi tujuan pemerkasaan fasiliti dan prasarana.

Peruntukan itu termasuk projek fizikal penyelenggaraan helikopter dan 'aircraft refueller' bernilai RM46.495 juta.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata selain itu RM10 juta digunakan bagi sambungan projek pembinaan Pejabat Pangkalan Udara (MOB) Subang melibatkan bangunan pentadbiran sektor logistik, bengkel kejuruteraan, 'heliport', stesen bahan api pesawat serta kemudahan-kemudahan lain.

"KPKT juga memperuntukkan RM1.2 juta bagi projek sambungan perolehan peralatan khas menyelamat helikopter melibatkan 10 unit payung terjun dan satu set 'Underslung Tactical Rescue Platform'.

Kesemua peruntukan tersebut diluluskan menerusi Perbelanjaan Pembangunan (DE) di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi tahun 2024," kata Akmal dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Pangkalan Udara Wilayah Utara dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Penubuhan Bahagian Udara JBPM di Pangkalan Udara Wilayah Utara Bertam, pagi tadi.

Jelasnya, KPKT kini dalam usaha membuat permohonan bagi perolehan empat unit helikopter baharu untuk kegunaan JBPM.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM