SEREMBAN, 8 Mei- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap siaga dan mempertingkat penugasan anggota, dalam berdepan musim kemarau.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata kementerian telah mengeluarkan arahan menerusi jabatan itu supaya maklum balas dan tindakan terhadap sebarang laporan kebakaran perlu dibuat tidak melebihi 10 minit.
Setakat ini, 355 balai bomba dari seluruh negara mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berkaitan arahan tersebut.
Had tempoh itu agar kebakaran dapat dipadamkan dalam kadar segera dan mengelak merebak ke kawasan lain.
"Supaya semua pihak di desa, tidak melakukan kebakaran terbuka, khususnya bakar sampah, ranting, tolong jangan buat pada ketika ini.
"Memang kita sekarang ini, masuk musim kemarau, musim cuaca cukup panas, elakkan semua perbuatan ini supaya risiko kebakaran dapat dikurangkan ke satu tahap yang minimum," katanya.
(Nga Kor Ming sewaktu ditemui media pada Majlis
Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Seremban hari ini)
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, di sini hari ini.
Dalam pada itu, pihaknya juga telah mengenal pasti 406 kawasan panas yang terdedah kepada risiko kebakaran terbuka.