fb fb fb fb fb

JBPM siap sedia hadapi sebarang situasi bencana

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 29 Mei- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa berada dalam keadaan siap siaga sepanjang tahun bagi menghadapi sebarang situasi bencana yang berlaku.

Menurut Ketua Cawangan Pengurusan Bomba Sukarela JPBM, Penguasa Kanan Bomba Ahmad Adli Abdul Rahman, ini terutama melibatkan banjir, kebakaran dan fasa peralihan monsun.

Peralihan monsun yang dijangka bermula hujung bulan ini menyebabkan ribut petir dan angin kencang dalam jangka masa singkat.

"Memang kita sepanjang tahun melaksanakan persediaan.. daripada segi kelengkapan peralatan, daripada segi maklumat kita kemas kini dari semasa ke semasa.

"Kerjasama itu berterusan..bukan kata berhenti banjir tak ada sambung dengan lain..tidak..kita akan berterusan daripada peringkat mula lagi.

"Kita bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk memastikan persediaan itu lengkap," katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu dalam rancangan terbitan RTM di sini.

Sementara itu, Ahmad Adli berkata pihaknya akan terus memperkasa Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Ia kini dianggotai lebih 8,000 anggota dengan 367 pasukan di seluruh negara.

"Pemilihan untuk penubuhan ini ditentukan oleh pasukan JBPM...daripada segi kriteria dan maklumat.. jadi kita akan nilai daripada segi risikonya.

"Kadang-kadang risiko yang tinggi kita tidak dapat benarkan, sebab lebih keutamaan kepada jabatan bomba dan pegawai-pegawai yang tetap," katanya.

Penubuhan PBS yang tertakluk di bawah peruntukan Seksyen 62(1)(Ca) Akta Perkhidmatan Bomba 1988 itu dilihat kaedah terbaik bagi menangani kes-kes kebakaran dan usaha menyelamat awal terutama di kawasan pedalaman seperti Sabah dan Sarawak.

 

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM