PUTRAJAYA, 21 Mac- Kira-kira 11,500 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dibekukan cuti sebagai persiapan agensi tersebut menghadapi Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hujung bulan ini.
Menurut Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, ia merupakan 70 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota di seluruh negara.
"15,000 anggota bomba sudah bersiap sedia. 70 peratus akan bertugas seperti biasa manakala hanya 30 peratus sahaja dibenarkan cuti bergilir.
"Kita pastikan keseluruhan anggota berada pada tahap yang optimal dan kita akan terus kerjasama dengan pihak polis supaya agensi kerajaan menjadi pembela keselamatan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Ops Siaga Raya 2025 sempena Hari Raya Aidilfitri JBPM di Putrajaya.
Tambah beliau, JBPM tahun ini turut akan berkerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia berkampung di 12 lokasi strategik yang merangkumi hampir semua negeri.
Ops Siaga Raya 2025 akan bermula pada 29 Mac dan berakhir pada 3 April depan.
Terdahulu, Ops Siaga Raya 2024 menyaksikan sebanyak 1,303 panggilan diterima berbanding 1,068 kes pada tahun 2023.