fb fb fb fb fb

JBPM Selangor siap sedia hadapi Monsun Timur Laut

Ketua Bomba Zon 7 Kuala Selangor, Samsol Maarif Saibani / Foto RTM

KUALA SELANGOR, 8 Oktober - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor kini bersiap sedia menghadapi peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka membawa hujan lebat serta risiko bencana seperti banjir.

Menurut Ketua Bomba Zon 7 Kuala Selangor, Samsol Maarif Saibani, lebih lapan kawasan berisiko tinggi telah dikenal pasti di daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam bagi memastikan tindak balas pantas jika berlaku kecemasan.

“Persiapan termasuk latihan kecemasan, penyediaan peralatan menyelamat, serta penyelarasan pasukan di lapangan. Sekarang ini kita dalam musim monsun peralihan dari barat daya ke timur laut.

"Bomba sentiasa bersedia menghadapi cuaca yang tidak menentu dan angin ribut, serta memantau lokasi yang berpotensi mengalami banjir atau pasang besar,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Antara lokasi yang dipantau termasuk Bagan Pasir, Pantai Sungai Kajang, Bagan Yu, dan Pantai Sentosa.

Sementara itu, seramai 120 peserta dari tujuh agensi terlibat dalam Latihan Simulasi Bencana Tanah Runtuh Negeri Selangor yang diadakan selama dua hari di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), bermula semalam.

EXCO Pengurusan Bencana Negeri, Najwan Halimi menyifatkan latihan itu sebagai langkah penting bagi memastikan tindak balas yang cekap dan terkoordinasi ketika bencana berlaku.

Peserta diberi pendedahan mengenai teknik penyelamatan kritikal dan pengurusan kecemasan yang relevan ketika berdepan ancaman tanah runtuh.

Antara agensi yang terlibat adalah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor (PDRM), JBPM Negeri Selangor dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangor.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN