BARIO, 25 September - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) komited menubuhkan sekurang-kurangnya 500 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di seluruh negara menjelang tahun 2030.
Ia selaras dengan Teras 2 Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN) 2021-2030, iaitu Amalan dan Pembudayaan Keselamatan.
Komitmen tersebut dizahirkan sempena Majlis Sesi Libat Urus Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM bersama Pasukan Bomba Sukarela Bario yang diadakan di Dewan Serbaguna Bario pada semalam.
JBPM Negeri Sarawak dalam kenyataan berkata, pada majlis berkenaan PBS Bario menerima sumbangan satu unit Pam Angkut daripada LTA Services Sdn. Bhd., yang diyakini dapat meningkatkan keupayaan operasi pemadaman kebakaran memandangkan Bario pernah menjadi kawasan titik panas kebakaran terbuka termasuk insiden kebakaran sawah padi seluas 20 hektar pada 16 September 2024.
"Selain itu, sebanyak 12 unit alat pemadam api turut diserahkan kepada kampung-kampung sekitar Bario sebagai simbolik penubuhan “Fire Point”, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan komuniti berdepan risiko kebakaran.
"Sepanjang tahun 2025, JBPM Sarawak memperkasakan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) melalui pemberian geran kewangan RM1.36 juta, perlindungan insurans kelompok percuma bernilai RM600,000 setahun, peruntukan RM597,500 bagi kelengkapan PPE, pindaan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 serta peruntukan RM3 juta untuk naik taraf balai PBS", katanya.
Sementara itu, Bario turut mencatat sejarah apabila menjadi lokasi pertama penganjuran Kursus Pengukuhan Pasukan Khas Udara, Pasukan Smoke Jumpers dan Latihan Bersama PBS Sarawak 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 25 September lalu.
"Kursus yang disertai 40 peserta terdiri daripada pegawai Bahagian Udara JBPM serta lima anggota PBS Bario itu memberi peluang peserta menguji kemahiran, meningkatkan ketahanan fizikal serta menyelaras strategi operasi udara dan darat dalam persekitaran sebenar yang mencabar.
"Pemilihan Bario sangat signifikan kerana faktor geografi dan persekitarannya yang sukar, sesuai untuk menguji kemampuan serta kesiapsiagaan pasukan khas dalam menghadapi kecemasan atau bencana", tambahnya
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen & Pemantauan Projek) merangkap ADUN Mulu, Datuk Gerawat Gala, manakala JBPM diwakili Timbalan Pengarah JBPM Negeri Sarawak, PPjB Tiong Ling Hii.