fb fb fb fb fb

JBPM sasar pemeriksaan khusus terhadap inap desa sempena Aidilfitri

Datuk Nor Hisham Mohammad

SEREMBAN, 2 April- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan pemeriksaan khusus terhadap premis inap desa di seluruh negara menerusi pasukan petugas khas Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) Aidilfitri.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, langkah tersebut berikutan trend semasa mendapati ramai yang mula menginap di inap desa serta bilik sewa penginapan terutamanya pada musim perayaan ketika pulang ke kampung halaman.

Sehingga kini, sebanyak 4,050 inap desa serta bilik sewa penginapan telah diperiksa.

"Jadi ini merupakan satu inisiatif yang kita ambil untuk memastikan keselamatan. Sekarang ini jadi trend, orang balik kampung mereka tidak duduk di rumah mak ayah atau rumah keluarga macam dahulu.

"Kebanyakkannya menginap di inap desa, hotel atau bilik sewa. Jadi kita telah mengambil pendekatan awal untuk periksa tempat macam ini supaya memastikan ia mempunyai sistem pemasangan keselamatan yang paling minimum," katanya dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan Dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Melaka, di sini.

Sehingga Mac 2024, sebanyak 4,900 premis telah diperiksa termasuk 558 premis yang diperiksa dalam pasukan petugas khas MBK Aidilfitri seluruh Malaysia termasuk 15 premis di Negeri Sembilan dan 13 premis di Melaka.  

Dalam majlis samam seramai 53 orang pegawai JBPM Negeri Sembilan dan 39 orang pegawai JBPM Melaka menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).  

Sementara itu 23 orang pegawai JBPM Negeri Sembilan dan 36 orang pegawai JBPM Negeri Melaka turut menerima penghargaan atas sumbangan khidmat lebih 30 tahun bersama-sama jabatan berkenaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI