KUCHING, 20 Mei- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan menghantar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) ke China untuk untuk mendalami ilmu baharu tentang hidrogen.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohamad berkata ia bagi melatih anggota dan pegawainya dalam menguasai keperluan industri semasa apalagi, mendepani pembangunan sektor tenaga baharu di Sarawak.
"Bomba perlu sentiasa bersedia, anggota-anggota perlu dilengkapkan dengan kepakaran dan keperluan mengikut lokasi, lebih-lebih lagi di Sarawak.
"Perancangan kita tahun ini adalah menghantar tiga pasukan ke China untuk melihat bagaimana keadaan industri di sana dan mengadakan kolaborasi.
"Kita akan bawa kemahiran dan kompetensi tersebut ke Malaysia untuk kita buat peraturan dan cara mengawal selia," katanya.
Datuk Nor Hisham menjelaskan, perkara itu penting, bagi memastikan bomba sentiasa bersedia dengan keperluan industri dan teknologi baharu di negara ini.
Beliau ditemui media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Malaysia, Sarawak di Hotel Raia Kuching hari ini.
Seramai 99 orang anggota dan pegawai dari seluruh negeri menerima APC bagi tahun lepas.
Sementara itu, Sarawak akan menerima sejumlah 15 jentera pemadam kompak, CFRT bagi memenuhi keperluan operasi semasa.
Kesemua jentera itu dijangka sampai menjelang hujung tahun ini dan akan menyokong keperluan di kawasan yang bertopografi sempit.