fb fb fb fb fb

JBPM Perlis kesan empat lokasi panas kemalangan

Foto RTM

KANGAR, 5 April- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis telah mengenal pasti sebanyak empat lokasi 'hotspot' utama kawasan kemalangan.

Lokasi yang dikenalpasti ialah Jalan Alor Setar - Kangar, Lebuhraya Changlun - Kuala Perlis, Jalan Kangar - Kangar Jaya - Kuala Perlis dan Jalan Kangar - Padang Besar.

Menurut Pengarah JBPM Negeri, Penguasa Kanan Bomba I Mohd Zaidi Ma'at, pemantauan di lokasi berkenaan akan ditingkatkan dengan rondaan berkala jentera penyelamat oleh pegawai dan anggota dari lima buah Balai Bomba dan Penyelamat berhampiran lokasi kemalangan bermula 4 April hingga 21 April ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan jumlah kes kebakaran terbuka bagi tempoh 1 Januari hingga 3 April lepas adalah sebanyak 538 kes berbanding 536 kes sepanjang tahun 2023 dan 331 kes sepanjang 2022.

Cuaca panas dan kering di Perlis menyebabkan peningkatan kes pembakaran terbuka berlaku.

Kawasan kerap berlaku pembakaran terbuka ialah Utan Aji, Kangar; Bukit Keteri; Felda Mata Ayer; Ladang Chuping; Laluan Antarabangsa Padang Besar; dan Bukit Chabang.

Tambah Mohd Zaidi, bagi menghadapi pelbagai kes kecemasan sepanjang Aidilfitri, seramai 160 orang pegawai dan anggota akan bertugas melaksanakan pelbagai operasi.

Beliau memaklumkannya pada Pelancaran Kempen Keselamatan dan Operasi Ronda Raya JBPM Perlis Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Balai Bomba dan Penyelamat Kangar.

Bersempena program ini, beliau turut melakukan simbolik pelepasan jentera penyelamat bagi melaksanakan Operasi Ronda Raya 2024 serta pengedaran bubur lambuk untuk juadah berbuka puasa serta risalah dan barang kempen keselamatan kepada pengguna jalan raya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD