JBPM laksana lebih 800 operasi menyelamat, pindah penduduk terjejas banjir

KUALA TERENGGANU, 7 Januari -Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan sebanyak 898 operasi pemindahan dan menyelamat penduduk terjejas banjir di seluruh negara dalam tempoh 13 November hingga semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • JBPM menjalankan 8,174 operasi pemantauan di pantai, sungai dan kawasan banjir sepanjang Monsun Timur Laut.
  • 873 panggilan kecemasan diterima daripada orang awam memerlukan pelbagai bentuk bantuan.
  • Pasukan bantuan dihantar ke negeri tanpa Pasukan Gerak Cepat seperti Kelantan dan Perlis.
  • Enam kematian lemas direkodkan; orang ramai dinasihatkan elak aktiviti air sepanjang musim MTL.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata operasi berkenaan melibatkan seramai 4,747 penduduk terjejas yang dipindahkan atau diselamatkan menerusi operasi di air, darat dan udara.

Selain itu, beliau berkata dalam tempoh sama, JBPM turut melaksanakan sebanyak 8,174 operasi atau kerja pemantauan di semua lokasi termasuk pantai, sungai dan kawasan banjir bagi memastikan keselamatan orang awam sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

“Sepanjang tempoh MTL iaitu dari 13 November hingga semalam, JBPM menerima sebanyak 873 panggilan kecemasan daripada orang awam yang memerlukan pelbagai bentuk bantuan.

“Bagi negeri yang tidak mempunyai Pasukan Gerak Cepat (PGC) seperti Kelantan dan Perlis, JBPM telah menghantar pasukan bantuan dari Kuala Lumpur, Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Selangor, Kedah serta Pulau Pinang,” katanya pada Program Sumbangan Kebajikan Persatuan Kebajikan JBPM dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Sinar Murni (PERISMA) 2026 di Pejabat JBPM Terengganu di sini petang semalam.

Turut hadir, Pengarah JBPM Terengganu Nor Mahathir Muhamad.

Pada program itu, Ahmad Izram menyampaikan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan kepada 16 anggota bomba yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak enam kematian akibat lemas direkodkan di seluruh negara dalam tempoh 1 Januari ingga semalam.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan sebarang aktiviti di air sehingga berakhirnya musim MTL.

“Tiga kes kematian berlaku di pantai, manakala selebihnya melibatkan sungai atau tali air (dua kes) serta air terjun (satu kes). Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan tidak melakukan sebarang aktiviti air sepanjang tempoh MTL yang masih belum berakhir,” katanya. – BERNAMA