fb fb fb fb fb

JBPM hantar 20.8 tan bekalan makanan ke penempatan Orang Asli terjejas

Foto RTM

GUA MUSANG, 2 Januari – Sebanyak 20.8 tan bekalan makanan berjaya dihantar menggunakan dua helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke lima penempatan Orang Asli pedalaman di Gua Musang, Kelantan yang terputus hubungan darat akibat musim tengkujuh, hari ini.

Juruterbang Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Penguasa Kanan Bomba I (PgKB I) Wahyudi Mohd Sayuhti berkata operasi penghantaran tersebut melibatkan 37 penerbangan sepanjang penugasan.

Menurutnya, penghantaran ke Kampung Bihai Lama dan Kampung Tendrik di Pos Bihai merupakan destinasi terakhir, menggunakan helikopter jenis Agusta Westland 189 (AW 189).

"Kami telah menghantar 93 bekalan makanan hari ini, menjadikan keseluruhan 1,097 bekalan makanan seberat 20,843 kilogram yang berjaya disampaikan kepada penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman Gua Musang. Alhamdulillah, penghantaran dapat diselesaikan lebih awal berikutan cuaca cerah pada waktu siang," katanya kepada pemberita, di sini.

Tambah Wahyudi, operasi melibatkan seramai 21 anggota dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah dan Pangkalan Udara Wilayah Utara, Bertam, Pulau Pinang.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN