fb fb fb fb fb

Jawatankuasa tertinggi akan dibentuk bincang penambahbaikan keselamatan konvoi PDRM

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika ditemui pemberita selepas meluangkan masa menziarahi anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan

TELUK INTAN, 16 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membentuk satu jawatankuasa tertinggi bagi membincangkan langkah penambahbaikan aspek keselamatan konvoi atau pergerakan pasukan itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia bagi melindungi kebajikan warga PDRM serta keluarga mereka.

Pihaknya dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) akan mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa tertinggi mengenai Prosedur operasi standard (SOP) berkenaan perkara itu.

"Melihat semula konvoi anggota keselamatan semasa penugasan dan selepas selesai, ia bukan sahaja untuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU), ia termauk juga Pasukan Gerakan Am (PGA), juga pengawal pengiring yang membawa orang salah dan sebagainya. Kita akan adakan satu prosedur operasi standard (SOP) atau cadangan terbaik untuk anggota kita yang bertugas," kata Tan Sri Razarudin.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meluangkan masa menziarahi anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan, di sini.

Dalam pada itu beliau berkata, PDRM juga sedang mempertimbang langkah pemasangan kamera papan pemuka (dashcam) di semua aset kenderaan PDRM.

Langkah itu bertujuan meningkatkan tahap pemantauan keselamatan selain membantu siasatan sekiranya berlaku insiden melibatkan kenderaan operasi PDRM.

TETITIA YUSOFF