Jawatankuasa khas akan ditubuhkan, tangani salah guna pas sosial pekerjaan

Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 Februari – Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menangani isu penyalahgunaan pas sosial untuk tujuan pekerjaan serta aktiviti lambakan barangan di pasaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penubuhan jawatankuasa khas bagi menangani penyalahgunaan pas sosial untuk tujuan pekerjaan.
  • Pasukan melibatkan beberapa kementerian termasuk MITI, KUSKOP, KPKT, KDN dan KPDN.
  • Fokus pada penyelarasan penguatkuasaan dan tindakan perundangan berkaitan penyalahgunaan pas.
  • Pasukan juga akan menyiasat dan bertindak terhadap lambakan barangan di pasaran.

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan perkara berkenaan ketika mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Pasukan itu akan membabitkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memutuskan supaya Kementerian Kewangan (MOF) akan membantu menyelaras dan membentuk satu badan bertindak ataupun pasukan khas yang khusus.

“Ia antara lain akan memberi fokus dan keutamaan penyelarasan aspek-aspek penguatkuasaan serta aspek-aspek perundangan yang melibatkan penyalahgunaan pas sosial untuk tujuan kerja,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Pada masa sama, pasukan khas itu juga akan meneliti dan mengambil tindakan terhadap isu lambakkan barangan di pasaran. Menurut Datuk Fahmi, KPDN mendapati terdapat beberapa barangan tertentu yang didapati telah mula dilambakkan dalam pasaran negara ketika ini.

Sehubungan itu, tindakan menyeluruh akan diambil termasuk sebarang aktiviti perniagaan yang tidak mematuhi peraturan. MOF dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai penubuhan jawatankuasa khas itu selepas mesyuarat berkaitan diadakan.