fb fb fb fb fb

Jawatankuasa kaji semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional ditubuhkan segera - Khaled

PUTRAJAYA, 30 Januari - Satu jawatankuasa bagi menyemak dan mengkaji semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional akan ditubuhkan segera.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keperluan tersebut bagi memastikan pelan serta dasar Kementerian Pengajian Tinggi berpasak pada realiti semasa dan merangkumi kepentingan masa depan yang lestari.

Katanya, jawatankuasa tersebut diberikan tempoh tiga bulan untuk mengemukakan dapatan serta saranan penambahbaikan.

(Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun
Baharu 2023, di Putrajaya)

"Dapatan dan saranan penambahbaikan daripada jawatankuasa ini sangat kritikal atas beberapa sebab. Pertama, landskap pendidikan nasional hari ini sudah menjadi 'pelbagai rupa'. Kedudukan dan peranan semua pihak mesti dilihat dan diperkemas semula.

"Kedua, segala yang berlaku di sekeliling kita, sama ada wabak kesihatan atau perubahan iklim atau krisis tenaga mahupun peperangan kognitif akan secara tidak langsung mengheret kita menjadi sebahagian daripada pemainnya," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023, di sini.

Tambah Khaled, sektor pendidikan tinggi kini jauh lebih kompleks, rumit dan mencabar.

Justeru, negara memerlukan pelan dan strategi yang lebih sofistikated, lestari dan kontemporari bagi menterjemahkan aspirasi nasional.

Beliau turut mencadangkan agar disediakan satu kertas putih bertujuan untuk menilai secara khusus dan mendalam kesan dan strategi dalam menguruskan pelbagai gangguan teknologi semasa terhadap pengajaran, pembelajaran serta tatakelola institusi pendidikan tinggi negara.

Media Baharu