PUTRAJAYA, 29 November- Jawatankuasa Kabinet akan ditubuhkan bagi memastikan penganjuran Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) menjadi program besar negara.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Semalam, selepas Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) merasmikan (Putrajaya FOI) dan melihat sambutan sangat menggalakkan, mesyuarat Kabinet telah membuat keputusan untuk mewujudkan Jawatankuasa Kabinet," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Putrajaya FOI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Menurut Datuk Seri Dr. Zambry, langkah mewujudkan jawatankuasa itu membolehkan penyelarasan dibuat dengan pelbagai kementerian dan agensi sekali gus mengangkat Putrajaya FOI sebagai program berskala besar.
"Perbincangan lanjut mengenai cetusan Idea Putrajaya FOI akan dibuat dan laporan mengenainya akan diserahkan kepada Kabinet agar dapat digarap kerajaan demi pembangunan dan kemajuan negara,' katanya.
Penganjuran Putrajaya FOI oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) buat julung kalinya telah mencatatkan lebih 100,000 pengunjung sekali gus membuktikan semangat golongan belia terhadap program meliputi pelbagai bidang seperti sains dan keseniaan.
Ia juga merupakan satu inisiatif penting dalam usaha merakyatkan idea dan pendidikan tinggi secara besar-besaran, selain mempromosi Malaysia sebagai pusat wacana intelektual serta inovasi di peringkat serantau dan global.