fb fb fb fb fb

Jatuh bangunan: Kematian isteri Ridzokumura diklasifikasi mati mengejut - KP Selangor

Hussein Omar Khan (kanan) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam hari ini/BERNAMA

SHAH ALAM, 4 Mac- Polis Selangor mengesahkan kematian seorang wanita warga Jepun yang terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16, Subang Jaya, Jumaat lepas, sebagai kes mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan awal tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.

Beliau juga mengesahkan mangsa adalah isteri usahawan dan pempengaruh media sosial Abd Ridzuan Abdul Mutalib atau lebih dikenali Ridzokumura.

"Punca kematian disebabkan kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi. Sama ada mangsa melompat atau sebaliknya, itu masih dalam siasatan.

"Bagaimanapun, polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini.

Beliau turut memaklumkan bahawa keterangan Ridzokumura telah diambil bagi membantu siasatan lanjut.

"Polis telah mengambil keterangan Abd Ridzuan bagi membantu siasatan. Walaupun siasatan bawah SDR, proses siasatan tetap sama seperti siasatan jenayah biasa, kita akan melihat sebarang kemungkinan sama ada unsur jenayah atau tindakan mangsa itu sendiri.

"Sekiranya terdapat bukti atau saksi yang menunjukkan wujud unsur jenayah, kita akan klasifikasikan semula kes mengikut kesalahan jenayah," katanya.

Dalam pada itu, Hussein menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen negatif berhubung kejadian tanpa mengetahui kesahihan maklumat.

SITI AISHAH MD ISA