fb fb fb fb fb

JAS pantau projek kuari di Gunung Bongsu

Foto RTM

KULIM,27 Julai-Jabatan Alam Sekitar, JAS Kedah terus memantau dan memeriksa tapak cadangan projek kuari di Lot PT 686, Kompartment 28, Hutan Simpan Gunung Bongsu mematuhi Akta Kualiti Alam Sekitar Sekeliling (AKAS) 1974.

Pemantauan oleh penguatkuasa JAS dan polis itu memberi fokus kepada tapak projek yang menjadi aduan masyarakat setempat berkaitan dakwaan terdapat aktiviti pembalakan di Lot 686, Kompartmen 28 yang didakwa mengakibatkan   pencemaran alam sekitar.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya turut membuat pengesahan ke atas pematuhan Notis Arahan dibawah Seksyen 31, Akta Kualiti Alam.Sekeliling, 1974 yang dikeluarkan oleh JAS yang mengkehendaki penggerak projek untuk memberhentikan aktiviti kerana kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang dikeluarkan pada 11 Disember 2017 telah tamat tempoh sah.

Sharifah Zakiah turut berkata penggerak projek perlu mengemukakan laporan EIA baru yang lebih komprehensif dan mengambil kira pandangan orang awam sekiranya masih berminat untuk menjalankan sebarang  aktiviti di tapak. 

Hasil pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan sebelum ini mendapati, penggerak projek mematuhi notis arahan JAS dan tiada sebarang kerja-kerja dijalankan kawasan tersebut.

Ujarnya, sekiranya terdapat pencerobohan atau aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh berhubung dengan agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan dan mengemukakan bukti seperti gambar dan video terkini.

JAS Kedah sentiasa komited dalam memastikan pematuhan terhadap AKAS 1974 serta peraturan-peraturan di bawahnya.
 
Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 telah diwartakan pada 6 Jun 2024 dan telah mula berkuatkuasa bermula 7 Julai 2024.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD