ALOR SETAR, 14 April- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menutup tiga kilang yang menjalankan aktiviti pemprosesan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram di negeri itu tahun lalu, manakala lima lagi dalam proses tindakan mahkamah.
Menurut Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, kebanyakan kilang haram e-waste beroperasi di selatan negeri iaitu di Kulim, Kuala Ketil dan Sungai Petani dipercayai disebabkan lokasi berhampiran pelabuhan.
Kilang-kilang terbabit juga dikesan beroperasi di kawasan industri dan berisiko tinggi mencemarkan alam sekitar khususnya apabila membabitkan buangan terjadual.
Beliau menegaskan pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas untuk membanteras aktiviti e-waste haram yang boleh mendatangkan bahaya kepada masyarakat dan alam sekitar.
"Kita guna pelbagai kaedah seperti risikan, rondaan serta maklumat daripada orang awam. Mereka penting kerana tinggal di kawasan terlibat dan tahu isu persekitaran.
"Selalunya e-waste diproses dengan pembakaran, yang menghasilkan bau dan membawa kepada aduan awam," katanya kepada pemberita pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri JAS Kedah di sini hari ini.
Tambah beliau, sebanyak 681 aduan berkaitan pencemaran diterima sepanjang tahun lalu.
Sementara itu, bagi suku pertama tahun ini, JAS Kedah telah menerima 246 aduan membabitkan pencemaran udara, gegaran, tumpahan minyak, bunyi bising, buangan terjadual, air dan lain-lain.
Sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 345 pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan termasuk 53 notis kompaun, 102 notis arahan, tujuh Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) dan empat semakan dokumen.