fb fb fb fb fb

JAS Kedah ambil sampel sisa kebakaran gudang untuk dianalisis

Sisa kebakaran gudang di Bukit Selambau/Foto JAS Kedah

SUNGAI PETANI, 5 Disember- Jabatan Alam Sekitar, JAS Negeri Kedah mengambil beberapa sampel buangan termasuk sampel buangan elektrik dan elektronik (ewaste) di kawasan gudang yang terbakar di Bukit Selambau, Sungai Petani, untuk siasatan lanjut.

Pengarah JAS Negeri Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata sampel berkenaan telah dihantar ke Jabatan Kimia Negeri Kedah untuk dianalisis.

Beliau berkata pihaknya meneruskan siasatan di sebahagian tapak yang telah terbakar selepas mendapat kebenaran daripada pihak Bomba.

"JAS turut memasang dua alat pengukur kualiti udara iaitu Meter Cerex yang dapat mengesan dan mengukur sekitar 350 gas pencemar dan meter Grimm untuk mengukur habuk PM10 dan PM2.5.

"Secara keseluruhannya kualiti udara ambien sekitar Bukit Selambau adalah terkawal. Hujan yang turun beberapa kali selepas kebakaran juga membantu membersihkan udara yang tercemar", katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau turun padang meninjau kesan kebakaran di lokasi kejadian.

Katanya, kawasan yang terbakar masih lagi mempunyai kandungan pencemar yang agak tinggi dan memerlukan penggunaan kelengkapan pelindung diri (PPE) untuk memasuki kawasan berkenaan.

"Jabatan Alam Sekitar turut menggunakan dron bagi merakamkan keseluruhan visual kawasan terbabit dan mengesan sekiranya terdapat pencemaran yang berasal dari kawasan terlibat atau punca-punca pencemaran lain berhampiran", katanya.

ROSLINA BINTI DIN