fb fb fb fb fb

JAPEN Pulau Pinang julung kali jayakan ekspo perkhidmatan informasi

Antara reruai yang terlibat dalam ekspo yang dianjurkan oleh JAPEN Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 18 Disember- Jabatan Penerangan (JAPEN) Pulau Pinang julung kali mengadakan ekspo bertujuan memberi perkhidmatan informasi kepada masyarakat berkaitan jabatan dan agensi bawah Kementerian Komunikasi khususnya.

Ekspo itu memberi penerangan secara mendalam kepada pengunjung di Dewan Arena 3, Tapak Pesta Pulau Pinang.

Pengarah JAPEN Pulau Pinang Sabri Said berkata, "ekspo ini memfokuskan lapan segmentasi utama iaitu Kementerian Komunikasi, kewangan, pendidikan, kesihatan, penguatkuasaan, perumahan, keusahawanan dan pelancongan.

"Bawah kementerian Komunikasi kita ada tujuh jabatan dan agensi yang terlibat memberikan perkhidmatan dalam bentuk pameran dan buka kaunter perkhidmatan serta memberi penerangan kepada pengunjung," katanya.

Sementara itu wakil Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Anna Syuhaida Ismail yang ditemui berkata, ekspo seperti ini memberikan peluag kepada orang awam untuk lebih mengenali agensi itu.

"Saya sangat teruja dengan ekspo ini kerana ia pertama kali diadakan dan mendapat penyertaan dari ibu pejabat di Kuala Lumpur yang turut hadir ke sini.

"Selain itu kita turut mempamerkan arkib berkaitan dengan dokumentari berkaitan filem dan dipamerkan kepada orang ramai," katanya.

Dalam pada itu, Penerbit Rancangan RTM Pulau Pinang Phirose Sanjay Md Hussin berkata penganjuran ekspo itu juga membolehkan stesen radio MutiaraFM mempromosikan stesen itu kepada warga Pulau Pinang.

"Kita turut bawakan DJ MutiaraFM di sini bagi mendekati orang ramai dan mempromosikan stesen kami. Ia secara tidak langsung menarik minat golongan pendengar untuk terus memilih MutiaraFM sebagai hiburan pilihan," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI