TANAH MERAH, 22 Jun- Jabatan Penerangan (Japen) akan memanafaatkan kewujudan hampir 2,000 Komuniti MADANI di seluruh negara untuk membantu agensi berkaitan dalam memudahkan urusan pendaftaran permohonan pemilik kenderaan diesel bagi membolehkan mereka menikmati subsidi yang ditawarkan kerajaan.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Japen Erwin Khairul Ahmad, usaha itu selari dengan hasrat penubuhan komuniti itu sebagai pemudahcara kepada masyarakat terutama melibatkan penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman.
"Masalah ketidakfahaman atau tidak faham cara untuk mendaftar bagi mendapatkan BUDI MADANI, itu semua boleh berhubung dengan Komuniti MADANI.
"Kemudian kita ada Japen daerah untuk kita sama-sama bantu. Kita faham kesukaran yang dihadapi, jadi mereka boleh bertemu dengan komuniti di kampung masing-masing," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Jiwa Komuniti MADANI Peringkat Parlimen Tanah Merah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ipoh di sini.
Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Komuniti MADANI Daerah Tanah Merah Khairul Anuar Harun dan Pengerusi Majlis Getah Malaysia Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Nor.
Pada masa sama, peranan Komuniti MADANI di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diperkasa bagi memberikan penjelasan berterusan berkaitan dasar-dasar kerajaan selain menangkis segala dakyah dan tohmahan pihak tidak bertanggungjawab.