fb fb fb fb fb

JAPEN Kelantan tubuh 135 Komuniti MADANI

Program Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Kelantan 2024

GUA MUSANG, 29 Jun- Jabatan Penerangan (JAPEN) Kelantan menubuhkan 135 Komuniti MADANI merangkumi 45 kawasan Dewan Undangan Negeri terdiri daripada pelbagai kaum dalam usaha menyatupadukan rakyat.

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata, Komuniti MADANI merupakan salah satu platform penting untuk menyalurkan maklumat terkini dan sahih mengenai dasar-dasar serta inisiatif dilaksana kerajaan supaya sampai kepada masyarakat secara berterusan.

“Berperanan juga sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat, Komuniti MADANI merupakan jentera komunikasi yang sangat penting bukan sahaja dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat, malah mendapatkan maklum balas rakyat di peringkat akar umbi seperti keperluan pembangunan untuk disampaikan pula kepada pihak kerajaan.

"Justeru, besarlah harapan kami agar kewujudan Komuniti MADANI ini mampu memperkasakan usaha penyaluran maklumat kerajaan kepada rakyat dengan kerjasama semua pihak hingga peringkat akar umbi,”katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapannya ketika merasmikan penutup Program Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Kelantan 2024 di Dataran Kesedar Putra Gua Musang, malam tadi.

Hadir sama, ADUN Galas Mohd Syahbuddin Hashim dan Pengarah JAPEN Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor.

Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Kelantan berlangsung selama dua hari itu menerima hampir 2,000 pengunjung dan penglibatan lebih dari 40 agensi kerajaan serta swasta.

Pelbagai pengisian diatur antaranya Forum Isu- Isu Semasa bertajuk “Ketirisan Sumber Negara Ancaman kepada Kedaulatan Negara”, Pocket Talk oleh pelbagai agensi kerajaan serta acara kemuncak Forum Kita Madani.

Dalam pada itu, Mohd Syahbuddin berkata, kerjasama yang wujud menerusi penganjuran Karnival Kita MADANI wajar diteruskan supaya dapat mewujudkan kefahaman yang baik mengenai dasar-dasar kerajaan dan hubungan baik terutama membantu rakyat dalam banyak perkara melibatkan masalah di kawasan luar bandar terutama di kawasan Gua Musang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE