KUALA LUMPUR, 3 Disember- Jabatan Penerangan (JaPen) akan membantu Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS Bhd) dalam memberikan penjelasan tentang penggunaan Identiti Digital Nasional (IDN).
Ia antara lain bagi menjawab persoalan, khususnya soal keselamatan data peribadi pengguna dan cara pendaftaran.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata MIMOS telah mula memulakan usaha itu kepada orang ramai dan KKD juga telah ditugaskan untuk membantu.
"KKD juga ditugaskan untuk membantu, jadi dalam masa terdekat JaPen akan membantu MIMOS menerbitkan soalan lazim mengenainya, dan juga penjelasan dalam bentuk video yang sangat ringkas, sangat mudah, saya daftar kurang daripada tiga minit,"katanya.
IDN atau digital ID adalah suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta.
Ia bertujuan untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.
Beliau ditemui pada program Run Hack: Scam Alert 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.