KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan kematian seorang banduan di Penjara Pokok Sena, 7 Oktober lalu disebabkan jangkitan kuman dalam darah.
Ia hasil keputusan bedah siasat awal diperoleh jabatan itu.
Menerusi satu kenyataan, Jabatan Penjara memberitahu, banduan berkenaan mengadu tidak sihat pada 4 Oktober lalu selepas menjalani hukuman sebat pada 25 September.
susulan aduan sakit oleh banduan, pihak penjara terus melakukan pemeriksaan melalui rawatan rapi oleh pegawai perubatan.
"Banduan telah dibawa Hospital Sultanah Bahiyah pada 7 Oktober untuk rawatan lanjut namun banduan tersebut telah disahkan meninggal dunia," kata kenyataan itu.
Jabatan Penjara menegaskan bahawa hukuman sebat yang dilaksanakan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan banduan juga telah disahkan sihat dan cergas selepas pemeriksaan ketat oleh pegawai perubatan penjara.
"Banduan tersebut mendapat rawatan dengan rapi termasuk rawatan luka setiap hari dan kesihatannya dipantau dari semasa ke semasa oleh pegawai perubatan penjara selepas menjalani hukuman," kata kenyataan itu lagi.
Justeru, pihak jabatan mengingatkan orang ramai agar tidak menyebar berita tidak sahih berkaitan kes terbabit.