fb fb fb fb fb

Jangkitan COVID-19 dijangka meningkat ketika cuti Tahun Baharu Cina

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ditemui media selepas menyampaikan Amanat tahun baharu Kementerian Kesihatan di Putrajaya

PUTRAJAYA, 26 Januari- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tidak menolak kemungkinan unjuran jangkitan COVID-19  dalam kalangan rakyat di negara ini dijangka meningkat menjelang cuti sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Menurutnya orang ramai dinasihatkan tidak panik, namun harus peka dengan trend penularan jangkitan terutamanya kepada golongan berisiko dengan mengambil langkah pencegahan.

"Saya rasa dengan trend terkini, kita jangan ambil selesa tapi tidak juga terlalu panik. Kita perlu berhati-hati dan patuhi SOP yang sudah menjadi kebiasaan.

"Bagi mereka yang batuk pastikan pakai pelitup muka," katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas menyampaikan Amanat tahun baharu Kementerian Kesihatan di Putrajaya.

Sementara itu, mengulas mengenai  kenyataan Malaysia Medics International (MMI) yang menggesa kerajaan mempercepat pengambilan graduan perubatan ekoran kekurangan doktor pelatih di sebuah hospital pengajar, beliau memaklumkan KKM telah memutuskan pengambilan  doktor pelatih disingkatkan kepada dua bulan berbanding tempoh hampir dua tahun sebelum ini.

Ia dilihat sebagai langkah yang lebih baik dan cekap.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata semua pihak termasuk kerajaan dan pembangkang berhak menyuarakan syor dan tidak harus menjadikan isu pemansuhan skim pencen sebagai perkara negatif.

Beliau berkata isu itu boleh di suarakan di Parlimen dan boleh disemak dan imbang menerusi perbahasan.

Terdahulu Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh mencadangkan agar pemansuhan skim pencen wajar dimulakan dalam kalangan wakil rakyat, bukannya dalam perkhidmatan awam.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE