fb fb fb fb fb

Jangan terpengaruh provokasi gagalkan sambutan Hari Kebangsaan

Kanak-kanak berkumpul mengibarkan Jalur Gemilang / Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 24 Ogos – Orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan provokasi pihak tertentu yang cuba menggagalkan sambutan Hari Kebangsaan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, tindakan menyebarkan ketakutan bagi menghalang masyarakat daripada mengibarkan Jalur Gemilang adalah tidak bertanggungjawab.

“Kita jangan percaya golongan yang cuba bertindak secara ekstrem kononnya menjadi penguat kuasa atau badan bertindak.

Mereka mahu menakut-nakutkan orang ramai supaya tidak berani mengibarkan bendera, dengan motif untuk menggagalkan sambutan Hari Kebangsaan. Kita jangan termakan, sebaliknya teruskan mengibar Jalur Gemilang dengan cara yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Mesra Rakyat dan Kampung Tunku X DKing Durian Sarong Run 2025 di Taman Bandaran SS2, di sini.

Program anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu menghimpunkan 1,500 peserta larian yang mengenakan kain sarong, sekaligus memupuk rasa kebersamaan rakyat pelbagai kaum.

Ia turut diserikan dengan pelbagai aktiviti dan pameran agensi serta perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma.

Penganjuran Program juga selaras aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keterangkuman masyarakat, selain mempererat hubungan antara kepimpinan setempat, warga komuniti dan MBPJ.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN