fb fb fb fb fb

Jangan terlalu mudah keluar hukum syarak kerana berbeza politik

KUALA LUMPUR, 4 September -Hentikan segala kempen yang menyentuh sentimen keagamaan dan perkauman. Sebaliknya semua pihak yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulau dan Simpang Jeram dinasihatkan bersaing secara sihat dengan mengemukakan buah fikiran serta idea-idea untuk membangunkan rakyat.

Menerusi kenyataan media, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyeru semua pihak agar bertanggungjawab untuk menghormati kesucian agama Islam, menjaga perpaduan dan keamanan masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam negara yang tercinta ini.

Beliau merujuk berita tular di media sosial berkaitan kenyataan seorang pemimpin politik yang menyatakan hukum haram memberikan undi kepada seorang calon yang bertanding pada PRK Parlimen Pulai.

“Saya ingin menzahirkan rasa bimbang terhadap kecenderungan pihak-pihak yang mengeluarkan hukum berkaitan syarak dengan sewenang-wenangnya tanpa disiplin yang sepatutnya. Perkara ini boleh menimbulkan salah faham dalam masyarakat dan mencemar kesucian ajaran Islam," menurut kenyataan tersebut.

Jelasnya, penggunaaan istilah Haram mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka boleh didefinisikan kepada enam (6) maksud. Bagaimanapun, umumnya masyarakat di Malaysia mengaitkan penggunaan istilah haram dengan hukum syarak iaitu "hukum tegahan (dalam Islam) yang dijanjikan ganjaran pahala bagi orang yang mematuhinya dan dosa bagi orang yang mengingkarinya".

Selaku badan yang diberi amanah dalam menjaga dan memelihara kesucian agama Islam di negara ini, Dr Mohd Naim berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat khuatir dengan tindakan sesetengah pihak yang mengeluarkan kenyataan bersifat menghukum pihak-pihak yang tidak sealiran fahaman dengan kumpulan masing-masing.

“Situasi ini akan mencetuskan bibit-bibit perpecahan yang lebih serius dan mengancam keselamatan negara,” jelasnya.

Tambah Dr Mohd Naim, Malaysia mempunyai pihak berautoriti dalam mengeluarkan pandangan hukum atau fatwa mengenai sesuatu perkara.

“Saya berharap agar kita semua menghormati pihak berautoriti dan tidak terpengaruh dengan hukum-hukum yang dikeluarkan untuk tujuan kepentingan politik kumpulan."


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar)

Media Baharu